80

*_80 SEKOLAH ISLAM PERSENDIRIAN BERISIKO DITUTUP DI SELANGOR_*

*_SHAH ALAM:_* Hampir 80 buah sekolah Islam persendirian (SIP) kini berada dalam keadaan berisiko ditutup ekoran tekanan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah mengeluarkan pekeliling terkini yang sangat ketat.

Ini sebagaimana yang berlaku di kawasan bawah kendalian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengerusi Pertubuhan Gabungan Institusi Pendidikan Islam Negeri Selangor (GIPS), Ustaz Mohd Azwan Zainudin, berkata penutupan 80 buah SIP itu bakal memberikan kesan kepada masa hadapan 20,000 murid sekolah agama yang kini menuntut di sekolah-sekolah agama terbabit.

Katanya, ini adalah angka amat besar yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Beliau berkata, meskipun pelbagai inisiatif luaran seperti peningkatan elaun guru KAFA telah dilaksanakan, hakikatnya GIPS merasakan kerajaan negeri sekarang tidak serius dalam agenda pembangunan institusi pendidikan Islam.

“Potensi sektor institusi pendidikan agama di negeri Selangor adalah amat besar serta mendapat permintaan oleh umat Islan yang amat tinggi di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, pengalaman kerajaan terdahulu pada tahun 2008 hingga 2018 telah membawa keuntungan kepada pendidikan Islam di peringkat negeri menerusi idea penubuhan Maahad Tahfiz Integrasi Negeri Selangor (MITS) yang dirancang untuk ditubuhkan di setiap daerah di negeri ini.

Katanya, MITS merupakan hasil idea dan keringat oleh Exco Pendidikan negeri yang turut merangkumi PAS dengan MITS kini telah berjaya disiapkan dan telah menapak di lima daerah.

“Usaha ini amat menguntungkan umat Islam di negeri Selangor dan wajar diberikan kredit oleh semua pihak.

“GIPS terbuka untuk melakukan sebarang sesi perbincangan dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Selangor, PBT dan JAKIM bagi membincangkan isu kedudukan SIP di Selangor ini secara matang dan konstruktif.

“Dengan penubuhan GIPS, kami mengharapkan agar solidariti dan usaha bersepadu ini akan menghantar isyarat jelas kepada kerajaan baharu yang bakal memimpin negeri Selangor akan realiti sebenar yang menghimpit sekolah agama rakyat yang semakin hari semakin ditekan,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya GIPS menyeru agar para pencinta institusi pendidikan Islam agar membuat keputusan yang terbaik dalam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

GIPS meletakkan harapan tinggi agar barisan kepimpinan yang bakal memimpin Selangor adalah daripada kalangan mereka yang tidak menganaktirikan institusi pendidikan Islam serta benar-benar serius dalam agenda pembangunan pendidikan Islam.

Ini, kata beliau khususnya dalam aspek pengoperasian institusi pendidikan Islam swasta serta pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

https://harakahdaily.net/index.php/2023/07/19/80-sekolah-islam-persendirian-berisiko-ditutup/?fbclid=IwAR16AZ9d07TmKrb4qyyCwsniVfPjAYrK6xOR654_iyE312atNVHX5yAJbFU